Sunday, April 13, 2014

Tawasul

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI (Isnin, 14 Jdl. Akhir 1435H)
Bolehkah bertawassul ?

Dalil yang menunjukkan diperbolehkan bertawassul dalam berdo’a diantaranya adalah firman Allah dalam al qur’an;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah sebuah perantara untuk menuju kepada Allah, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan.” (QS Al Maidah : 35)

Berasal dari perkataan Arab وسيلة (wasiilah: perantara). Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Iaitu menjadikan sesuatu sebagai perantara ketika kita berdoa. Kita tetap meminta kepada Allah, tetapi kita meletakkan perantara di tengah sebagai penguat permintaan tersebut.

Tawassul terbahagi kepada dua, iaitu;
1. Tawassul yang Masyru’ (syar’i)
2. Tawassul yang Mamnu’ (dilarang).

PENCERAHAN :
Tawassul Yang Masyru' (syar'i)
1) Bertawassul dengan menggunakan nama-nama Allah SWT. Contoh, berdoa dengan nama Allah dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir li”. Wahai yang Maha Pengampun, ampunilah aku. Ya Razzaq, kurniakanlah rezeki kepadaku dan seumpamanya...

2) Bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang amal ibadatnya bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya, bukan melalui jasadnya. (Syaikh Ibnu Taimiyah)

Setelah kewafatan Nabi SAW, Umar Al-Khatthab r.a pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami.” (HR: Bukhari)

Begitu juga dalam peristiwa Uwais Al-Qarni.

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ي

َقُولُ إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ
Dari Umar bin al-Khatthab r.a beliau berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah seorang laki-laki yang disebut Uwais, dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda putih. Maka perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.” (HR: Muslim)

3) Bertawassul dengan amalan saleh yang dilakukan.
Hadis yang berkaitan tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua. Maka dengan amalan-amalan saleh mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup itu. Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (HR: Bukhari)

Tawassul Yang Mamnu' (dilarang)
Adapun tawassul yang dilarang ada banyak. Antaranya meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk danketerlaluan dalam meminta kepada makhluk termasuk manusia sehingga lupa kepada Allah SWT.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Termasuk seruan kepada Nabi SAW yang telah wafat. Berdalilkan hadis-hadis dha’if dan tidak membawa pengertian bahawa Nabi SAW pernah bertawassul dengan Nabi-nabi yang telah wafat sebelumnya. Syaikh Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari dalam kitabnya, Al-Tawassul Baina Masyru’i wal Mamnu’. Beliau membahaskan secara terperinci larangan tersebut. Contohnya, menyeru “Berkat arwah Syaikh fulan bin fulan…”

KESIMPULAN :
Semua ini adalah gambaran umum dan ringkas tentang tawassul. Maka dianjurkan untuk kita bertawassul dengan ketiga-tiga perkara yang jelas disyariatkan berdalilkan ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih sahaja. Adapun selainnya adalah amalan terlarang dan tertolak. Wallahu a'lam.
- Mudir Ar Rashid Al Baghdadi

Sent from Yahoo Mail on Android

No comments:

Post a Comment