Monday, April 21, 2014

Masuk Syurga Tanpa Hisab


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI

(Selasa, 22 Jdl. Akhir 1435H)
70,000 orang!

Setiap orang pasti ingin menjadi penghuni syurga. Waimma orang yang jahat pun mengharapkan dimasukkan ke dalam syurga Allah dan bukan ke jurang api neraka. Ini kerana syurga adalah tempat yang sangat indah yang tidak pernah kita lihat, tak pernah terlintas di hati dan tak pernah terfikir akan kenikmatan dan kehebatannya. Apatah lagi bila masuk syurga tanpa hisab.

Ulama' ada menyatakan, orang akan masuk syurga dengan tiga cara, iaitu;
1. Masuk syurga tanpa hisab
2. Masuk syurga setelah dihisab
3. Masuk syurga setelah diazab di dalam neraka

PENCERAHAN :
Terdapat 70,000 umat Muhammad s.a.w yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan tiada azab. Ini bersumberkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bersumber daripada Ibnu Abbas r.a. Muka mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka adalah;

1. Ahl al-Fadl (ahli kemuliaan)- orang yang menanggung kesakitan apabila diperbodohkan, bersabar apabila dizalimi dan memaafkan apabila dilakukan kejahatan terhadap mereka.

2. Ahli as-Sabr (ahli kesabaran)- bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menghindarkan maksiat terhadap-Nya.

3. Jiran-jiran Allah - saling berziarah dalam berkasih-sayang kerana Allah, duduk dan bangun bersama-sama saudara mereka kerana Allah. (HR: Abu Nu’aim daripada Ali bin Husain)

4. Orang yang mati dalam perjalanan ke Mekah sama ada pergi atau balik (HR : Jabir)

5. Penuntut ilmu, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa (Hadis Marfu’ daripada Abu Ayyub al-Ansari)

6. Sesiapa yang berjalan kerana hendak menunaikan hajat saudaranya yang muslim sehingga tertunai hajat itu dan meninggal dalam masa tersebut. (Hadis Marfu’ : Anas)

7. Sesiapa yang mengasuh kanak-kanak sehingga berupaya mengucapkan ‘lailahaillallah” (HR : A’isyah r.anha)

8. Orang Islam lelaki dan perempuan yang mati pada malam dan siang hari Jumaat (Hadis Marfu’ drpd ‘Ata’)

9. Hamba Yang bersabar apabila diuji dengan bala bencana pada tubuhnya dan anaknya (Hadis Marfu’ : Hakim at-Tirmidzi)

10. Orang yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah (HR: Ibn Mas'ud)

Dalam satu hadis lain yang panjang, Rasulullah s.a.w berdialog dengan Jibril a.s. Jibril berkata, "...Mereka adalah umat mu, dan mereka yang di depan, 70.000 orang tidak akan dihisab dan tidak akan diazab." Aku berkata, "Kenapa?" Dia menjawab, "Mereka tidak minta di-kaya (وَلاَ يَكْتَوُوْنَ), tidak minta diruqyah (وَلاَ يَرْقُوْنَ ) dan tidak meramal nasib serta hanya kepada Allah mereka bertawakal."

Maka berdirilah Ukasyah bin Mihsan, lalu berkata, "Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku salah seorang di antara mereka." Nabi pun berdoa, "Ya Allah, jadikanlah dia salah seorang di antara mereka." Lalu ada orang lain yang berdiri dan berkata, "Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku salah seorang di antara mereka.' Nabi s.a.w menjawab, "Kamu telah didahului oleh Ukasyah." (HR: Bukhari 6059)

Mereka ini lebih banyak berasal dari generasi-generasi terdahulu daripada generasi-generasi kemudian dari umat Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firman Allah SWT ;

ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِين وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ

"(Di antaranya) Sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu, Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian." (QS. Waqi'ah : 13-14)

KESIMPULAN :
Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang dapat masuk syurga tanpa hisab yang disebut sebilangan kecil itu. Tajdidkan niat. Ikhlaskan diri. Biar tidak dipuji manusia. Lebih pentingkan penilaian dari Allah SWT. Wallahu a'lam.
Mudir Ar Rasyid Al Baghdadi
Sent from Yahoo Mail on Android

No comments:

Post a Comment