Wednesday, April 16, 2014

Lawan Nafsu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI (Rabu, 15 Jdl. Akhir 1435H)
Tazkiyatun Nafs

Hijab - hijab yang menutup jiwa manusia sehingga ia terhalang daripada mencapai hakikat `ubudiyyah yang menjadi tujuan penciptaannya ialah;
1-Hijab Kejahilan (dosa pahala, haq dan batil dll.)
2-Hijab Dosa (titik-titik hitam menggelapkan hati)
3-Hijab Syaitan (menutupi mata hati manusia)
4-Hijab Sifat Basyariyyah (sifat mazmumah yang tercela)
5. Hijab Kelalaian (Ghaflah pada hati)

Untuk membuang hijab-hijab (halangan /penutup) rohani ini. Seseorang itu perlu melakukan tazkiyat al-nafs. Kejayaan manusia dalam melakukan tazkiyat al-nafs ini akan membawa kepada kejayaannnya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Allah SWT telah menjelaskan tentang hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

"Sesungguhnya (pasti akan) berjaya orang yang membersihkan dirinya (rohaninya) dan (pasti akan) rugi orang yang mengotorkannya." (QS, As-Shams: 9-10)

PENCERAHAN :
Tazkiyat al-nafs itu pada hakikatnya terdiri daripada dua perkara iaitu takhalli dan tahalli. Takhalli bermaksud membuang sifat-sifat tercela yang ada pada diri manusia manakala tahalli pula bermaksud menghiaskan diri dengan sifat-sifat terpuji. Kedua-dua perkara penting ini tidak akan tercapai dengan sempurna tanpa ilmu dan amal.

Oleh itu langkah pertama yang perlu diambil dalam usaha melakukan tazkiyat al-nafs ini ialah mendapatkan ilmu. Ilmu yang perlu dipelajari ialah ilmu yang menjelaskan tentang persoalan mengenal tuhan (tauhid/ usuluddin), ilmu yang menerangkan tentang peraturan-peraturan atau hukum-hukum mu`amalah (fiqh) dan ilmu yang membicarakan tentang masalah-masalah kerohanian (tasawwuf). Kesemua ilmu ini perlu dipelajari (fardu ain).

Setelah berilmu, hendaklah berusaha untuk mengamalkan ilmunya sekadar kemampuannya. Terdapat beberapa ciri amalan yang disifatkan sebagai amal tazkiyah atau amal mujahadah ini seperti yang dikemukakan oleh para ulama tasawwuf. Ciri-ciri tersebut ialah :
1. Mengikuti atau membetuli Sunnah (mutaba`ah)
2. Kehadiran hati, iaitu keikhlasan dan keihsanan
3. Kesungguhan atau hemah yang tinggi
4. Berperingkat-peringkat dalam melaksanakan amal
5. Berterusan dalam amal (istiqamah)
6. Mengambil kira keutamaan dalam amal (aulawiyyat)

Dalam usaha untuk melaksanakan amal mujahadah tersebut seseorang itu kerapkali menghadapi berbagai rintangan seperti kemalasan, keraguan, kekeliruan, kesilapan dan sebagainya lagi. Bagi menghadapi perkara ini seseorang itu disarankan agar mendampingi dan mendapatkan bimbingan atau irsyad daripada orang yang sudah ada pengalaman dalam perkara tersebut. Dari sini timbulnya konsep mursyid dalam ilmu tasawwuf yang memberikan tunjuk ajar (irsyad) dan didikan rohani (tarbiyyah)

Seseorang yang tekun melakukan tazkiyat al-nafs kebiasaannya akan mengalami intibah (kesedaran rohani). Keadaan ini berlaku disebabkan hijab-hijab yang menutup hati mula terangkat sedikit demi sedikit menyebabkan basyirah (penglihatan mata hati) sedikit demi sedikit terbuka sehingga dia dapat melihat atau menyaksikan hakikat-hakikat ketuhanan dan kebenarannya.

Kesedaran rohani ini juga menjadikan seseorang itu mula mengenali hakikat dunia. Dunia yang penuh dengan tarikan, perebutan dan kebanggaan ini sudah tidak menjadi kegilaan dan rebutan bagi dirinya. Dunia yang fana ini hanyalah sebagai perantaraan dan jambatan baginya menuju akhirat yang kekal abadi.

KESIMPULAN :
Tazkiyatun nafs ini adalah proses pemurnian dan peningkatan martabat kerohanian manusia sehingga dia menjadi hamba Allah yang sebenar atau dengan kata lain mencapai kesempurnaan maqam ‘ubudiyyah. Pada maqam ini manusia dapat menyaksikan ketuhanan Tuhannya dan juga menyaksikan kehambaan, kefaqiran, kehinaan, kelemahan, kekurangan pada dirinya.
Wallahu a'lam
Mudir Ar Rasyid Al Baghdadi

Sent from Yahoo Mail on Android

No comments:

Post a Comment