Friday, April 18, 2014

Apa itu Ihsan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI (Sabtu, 19 Jdl. Akhir 1435H)
Rukun Ihsan?

Terdapat tiga perkara yang menjadi asas atau prasyarat dalam bab ihsan. Apabila ketiga-tiga prasyarat tersebut seperti yang akan diterangkan pada tazkirah kali ini dapat dilaksanakan dengan penuh sempurna maka tercapailah maksud ihsan dalam erti kata yang sebenarnya.

PENCERAHAN :
Umum mengetahui Rukun Islam dan Rukun Iman, namun tidak ramai yang mengetahui akan Rukun Ihsan. Kita sudah lali menyebut tentang rukun Islam dan rukun Iman tapi kita lupa tentang Rukun Ihsan yang berperanan meneguhkan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Contoh, ramai yang dapat menunaikan ibadat solat (Rukun Islam), percaya adanya hari kiamat (Rukun Iman) tetapi mereka melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan hawa nafsu dan tangan-tangan mereka kerana rasa tidak diperhatikan oleh Allah atas setiap perbuatan mereka itu (Rukun Ihsan)

Rukun Ihsan akan mengarahkan hati kita di dalam pengamalan seharian. Kerana pastinya kita perlu menyedari dan mempunyai jawapan kepada dua persoalan teras tentang amalan seharian kita;
1. Kenapa kita perlu beramal?
2. Kepada siapa kita beramal?

Selalunya juga kita akan mendengar pernyataan yang berbunyi “Allah tidak melihat kecantikan, ketampanan, harta-benda ataupun pangkat dan darjat manusia tetapi Allah akan melihat apa yang ada di dalam hati manusia." Jadi apakah yang di maksud Rukun Ihsan itu? Berdasarkan hadis dari Saidina Umar ra seperti yang tersebut di atas, Nabi Muhammad SAW bersabda;

فَأَخْبِرْنِي عن الإِحْسَانِ، قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ الله كأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ یَرَاكَ.

"...Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda, Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia tetap melihatmu.” (HR: Muslim)

Allah memerintahkan orang beriman untuk bertaqwa kepada Allah. Dalam Kitab Bidayatul Hidayah, Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimallah membahagikan taqwa kepada dua, iaitu;
1. Taqwa Zahir seperti solat, puasa, zakat dan haji.
2. Taqwa Batin seperti ikhlas dan ihsan.

Orang yang melakukan amal Taqwa Zahir tanpa ada Taqwa Batin maka sia-sialah amalannya walaupun dia tetap wajib untuk mengamalkannya. Ini bererti taqwa adalah merupakan Rukun Ihsan yang pertama.

Seterusnya kita membicarakan tentang Rukun Ihsan yang kedua merujuk pada mafhum ayat Al-Quran di bawah ini;
"... Dan 'bertaqwalah' kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus 'bertawakkal'." (QS. Al Maidah : 11)

Firman Allah ini menjelaskan bahawa sesudah seseorang itu bertaqwa, Allah memerintah melakukan tahap lanjutan Ihsan iaitu tawakal. Perhatikan kalimah 'bertaqwalah' dan bersambung pula dengan kalimah 'bertawakkal'. Jelasnya, bahawa tawakal menjadi Rukun Ihsan yang kedua.

Apakah masih ada Rukun Ihsan selanjutnya? Iblis memang pernah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan seluruh umat manusia, tetapi Iblis La’natullah sendiri yang menyatakan bahawa ia tidak mampu menyesatkan orang-orang yang "mukhlisina lahuddin." Suatu penjelasan dari Allah SWT bahawa tingkat Mukhlis adalah maqam amal tertinggi di sisi Allah dan ia merupakan Rukun Ihsan yang ketiga.

KESIMPULAN :
Sebagai kesimpulannya bahawa Rukun Ihsan ada tiga perkara, yang pertama taqwa, yang kedua tawa kal dan yang ketiga ikhlas. Mengapa Allah dan Rasul-Nya dalam urusan Ihsan tidak menjelaskan secara terperinci sebagaimana dijelaskannya tentang Rukun Islam dan Rukun Iman, itu ketentuan atau ketetapan Allah yang hanya Dialah sahaja Yang Maha Mengetahui asbabnya. Wallahu a'lam
Mudir Ar Rasyid Al Baghdadi

Sent from Yahoo Mail on Android

No comments:

Post a Comment