Tuesday, April 22, 2014

Purdah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

TAZKIRAH HARI INI (Rabu, 23 Jdl. Akhir 1435H)
Adakah Juga Sekadar Fesyen?

Tajuk kali ini berkaitan pemakaian purdah / niqab / penutup muka dan sebagainya yang kini kian menjadi tarikan terhadap para wanita untuk mengamalkannya. Yang 'mampu' silakan yang tak mahu, memadai bertudung labuh. Alhamdulillah...

PENCERAHAN :
Allah SWT telah berfirman;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS. Al-Ahzab : 59)

Galakkan berjilbab ini meliputi menutup wajah berdasarkan beberapa tafsiran;
1. Makna jilbab itu sendiri di dalam bahasa Arab adalah pakaian yang luas yang menutupi seluruh badan. Sehingga seorang wanita wajib memakai jilbab itu pada pakaian luarnya daripada hujung kepalanya turun sampai menutupi wajahnya, segala perhiasannya dan seluruh badannya sampai menutupi kedua hujung kakinya. (kecuali kedua matanya)

2. Yang biasa nampak pada sebahagian wanita jahiliah adalah wajah mereka, lalu Allah perintahkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi SAW serta isteri-isteri orang mukmin untuk menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka. Kata idna’ (pada ayat tersebut يُدْنِينَ ) yang ditambahkan huruf (عَلَي) mengandungi makna menghulurkan dari atas. Maka jilbab itu dihulurkan dari atas kepala menutupi wajah dan badan.

Apabila ditanya ” Kenapa berpurdah?” Pelbagai jawapan yang kadangkala kurang enak di dengar. Antaranya ialah;
1. ”Saya pakai purdah sebab ikut kawan yang pakai"
2. ”Pakai purdah membuatkan saya lebih yakin diri...”
3. ”Nampak cantiklah pakai purdah, sebab tu saya pakai.”
4. ”Benda ni lebih kepada gerak hati kot.”
5. ”Lebih muslimah sikit kalau berpurdah ustaz.”

Mana jawapan "Saya berpurdah kerana Allah Ustaz." Walau apa pun jawapan yang terpacul dari mulut muslimah yang berpurdah ianya tidak menjadi masalah kerana mereka telah pun berjaya mempamerkan perbezaan dari wanita kebanyakkan lainnya. Tahniah !

Perlu diingatkan, memakai purdah bukan sekadar ikut-ikutan, ingin menutup kelemahan diri atau demi panggilan fesyen yang pastinya tidak akan berkesudahan. Maka bagi pemakai purdah yang sebelum ini tersasar jauh dari niat yang ikhlas Lillahi Ta’ala mari betulkan niat semula...

Setelah niat dibetulkan, perlu ada beberapa lagi ciri yang perlu anda penuhi bagi mencapai tingkat sebenar sebagai seorang pemakai purdah, antaranya;
1. Santun dan tegas dalam berbicara.
2. Tidak melirikkan mata dalam apa jua keadaan.
3. Jangan tabarruj dalam menghiasi mata.
4. Kena rasa diri masih banyak kekurangan.
5. Menghindar body language berlebihan.
6. Lebih peramah sesama wanita lain.
7. Hindar sifat merasa diri lebih mulia dari orang lain.
8. Menggelak dari menutur kalam lagha/berjidal.
9. Lebih konsisten dalam berdakwah.
10. Berakhlak dengan akhlak sebenar seorang muslimah.

Apabila anda telah menyarungkan purdah ke muka, maka pikullah amanah ini dengan berhati-hati, agar ianya tidak bertaburan dan keciciran. Semoga ianya tidak menjadi fitnah ke atas Islam itu sendiri.

KESIMPULAN :
Perkongsian ilmu ini moga-moga ianya tidak dianggap satu ancaman oleh seluruh warga muslimah yang berpurdah. Semoga anda yang berpurdah berjaya menyelami hakikat kemanisan iman dan tujuan sebenar melakukannya, kerana ia memang bukan sekadar fesyen ! Wallahu a'lam.
Mudir Ar Rasyid Al Baghdadi

Sent from Yahoo Mail on Android

No comments:

Post a Comment